get this widget here

ciri-ciri isteri solehah











Ciri-ciri isteri solehah-


 Mengakui dan menerima kenyataan bahawa 
suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu
kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta 
mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di 
dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan 
anak-anaknya.

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi 
kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka 
(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) 
telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah
r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih
utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab, 
suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama 
diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).

-
Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan 
menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-p
erkara rahsia peribadi 
dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami 
yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami
atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus 
menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan
terhadap isteri.

Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa 
membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana 
hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam 
kehidupan suami.

- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati 
suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang 
menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah 
s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin 
(suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain 
isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika 
suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami 
bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana 
bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta 
menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat 
membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati 
perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam. 
Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian
taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan 
pelbagai hal yang tidak wajar.

- Berusaha menambah ilmu 
pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya 
sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah 
seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda 
Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu 
daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan 
agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, 
kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

Mempunyai sifat 
redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang 
masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah, 
Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik. 
Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka, 
bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah 
menjadikan kebaikan yang banyak. (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini
ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi 
panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat 
bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh 
kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah
memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri 
yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada 
satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain
amat disenanginya. (Hadis sahih).

- Membantu dan menolong 
suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu 
bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin
kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap 
kedua-dua ibu bapanya.

- Bersedia menjadi penyokong kuat kepada 
perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari 
garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w., 
Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan
solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi 
sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh
kasih sayang.

- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab
mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan 
hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang
ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya
ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga 
dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti 
doa Nabi Daud a.s.: ``Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang 
isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku 
dan urusan akhiratku.''

SUKA BLOG NI ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...