get this widget here

Tips Mendapat Anak Soleh Dan Solehah


Anak nakal.
Anak degil tak dengar kata.
Anak yang terjebak dengan kebejatan sosial.
Anak ‘ketegaq’ atau ‘nana’ – dialek kedah.
“Ish, si fulan itu curi motor aku semalam.. tak serik-serik dengan kelakunya.” Rungut seorang lelaki sambil mencekak pinggang menahan amarah.
“Anak siapa?” Tanya rakannya.
“Anak si fulan itulah. Bapak dengan anak sama, si bapa kaki botol, main judi, kaki perempuan!” Sambutnya dengan nada yang sedikit tinggi. Marah bukan kepalang lagi.
“Patutlah, bapak borek, anak rintikkan?”
Kesemua perilaku anak-anak, samaada degil, nakal, buas, keras kepala, benak dan ‘ketegaq’ sememangnya menjadi igauan ngeri buat para ibu bapa penjaga mahu pun masyarakat sekitarnya. Amat pelik jika ada ibu bapa penjaga mengatakan bahawa mereka gembira mendapat anak-anak yang degil dan bersangatan jahatnya. Itu bererti dia mengiyakan kejahatan anaknya jika mengukir rasa gembira.
Baiklah, mari kita renung sejenak, mengapa perkara ini terjadi. Walhal pada asalnya anak-anak itu adalah putih, bersih tanpa sebarang perilaku negatif. Orang melayu dahulukala kerapkali mencipta peribahasa yang bersandarkan kepada perilaku masyarakat, misalnya peribahasa yang berkait rapat dengan masalah ini ialah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Benar, tetapi lebih benar lagi ialah bagi membentuk rebung atau buluh yang elok semaikanlah dan tanamlah dengan cara yang paling baik. Gunakan tanah subur dan penjagaan yang rapi, pasti akan terbit hasil rebung dan buluh yang menarik. Mana mungkin terhasil rebung manis daripada tanah kering kontang tanpa baja kecuali dengan izin Allah SWT.

KRITERIA PASANGAN
Sebelum pernikahan lagi Islam telah menetapkan perihal ini. Pilihlah pasangan yang mengenal siapa Allah SWT, siapa kekasihNya, dan tahu bagaimana praktikal mengabdikan diri kepada Pencipta. Itu asasnya yang paling utama. Di samping itu, sebelum menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan, setiap pasangan harus memiliki ilmu berumahtangga agar tak terpesong ke lembah kemungkaran. Faktor-faktor ini adalah perkara pokok yang patut diketahui setiap umat Islam.
Lihatlah bagaimana terbentuknya salasilah keturunan para sahabat, tabie’ tabie’in, ulama’ dan cendikiawan Islam antaranya Imam Syafie’ yang berketurunan Rasulullah SAW dan bersambung pada Abd Manaf. Ibunya pula menurut pendapat yang masyhur adalah seorang berketurunan Yaman dari suku Azd.

Imam Nawawi meriwayatkan tentang ibu Imam Syafie’, katanya: “Rasulullah SAW pernah bersabda: al-Azd ialah singa Allah di bumi ini, ramai dari manusia hendak menjatuhkan mereka, tetapi tidak diizinkan Allah SWT, bahkan Allah SWT meninggikan mereka, dan sesungguhnya pada suatu masa manusia akan berkata: Alangkah bertuahnya jika aku seorang Azdi dan alangkah bertuah juga jika ibuku seorang Azdiyyah.”



Mengenai Imam Syafie’, Rasulullah SAW juga pernah bersabda tentang kedatangan Imam Syafie’ r.a:

“Seorang alim daripada bangsa Quraisy akan memenuhi lapisan dunia ini dengan ilmu.” 

 Begitu juga yang terjadi pada silsilah keturunan Umar bin Abdul Aziz – cicit kepada Saidina Umar al-Khattab. Pernikahan cucu Saidina Umar al-Khattab dengan seorang lelaki bernama Abdul Aziz bin Marwan lalu melahirkan pula Khalifah adil dan saksama iaitu Umar bin Abdul Aziz. Kehebatannya memerintah dunia Islam ketika itu sudah diketahui umum semenjak dahulu hingga kini.
Formulanya, bagi menghasilkan keturunan anak cucu yang soleh dan solehah (ada juga segelintir keturunan baik terhasil daripada kalangan keluarga zalim, tetapi dengan izin Allah SWT mereka menjadi soleh dan solehah) – langkah pertama adalah kriteria pasangan yang dipilih adalah BERIMAN kepada Allah SWT. Gabungan sperma dan ovum manusia beriman pastinya membawa sel-sel genetik bagi menatijahkan penghasilan anak yang mempunyai akhlak, agama dan aqidah yang sebenar.

Syeikh Ali al-Khawas berkata: “Hendaklah setiap orang memperhatikan sifat anak-anaknya. Jika sifat mereka baik, maka itu adalah akhlaknya. Jika buruk, itu juga akhlaknya. Sebab sperma (mani) turun dari dirinya dengan sifat-sifat tersebut. Maka tidak ada yang boleh disalahkan selain dirinya sendiri.”

Perkara ini juga Allah SWT telah peringatkan dalam firmannya: 

“Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (al-Baqarah: 221)


MENERAPKAN SUNNAH DALAM PERSETUBUHAN (JIMA’) SUAMI ISTERI

“Apabila kamu berjima’ hendaklah ingat kepada Allah SWT, nak dapatkan anak soleh dan solehah ianya sebelum terjadinya janin.” Kata Syeikh Dr. Abdullah Syazili ketika menyampaikan kuliah tafsir mingguannya di Masjid Uthaifah, Medan Sa’ah.
“Baca Auzubillahhiminas syaitannirajjim.” Sambung Syeikh lagi.
Pengajian pada malam itu membicarakan mengenai penafsiran ayat 233 daripada surah al-Baqarah berkaitan masalah nikah, talak terhadap isteri. Dilanjutkan perbicaraan pula kepada masalah-masalah yang berhubung kait.
Kata-katanya membuatkan saya termenung sejenak, lantas cuba menulis artikel dan melestarikan berkenaan apa yang disampaikan Syeikh Dr. Abdullah Syazili.
Ya, peringatannya sangat bertepatan dengan sunnah yang dilakukan Rasulullah SAW tatlaka melakukan jima’ bersama isterinya. Bukan seperti haiwan yang tanpa segan silu melakukan aktiviti seksual di tepi-tepi jalan, bukan juga dengan jalan hubungan seksual yang diajarkan oleh tamadun barat.
Tanpa mukaddimah, tanpa doa, tanpa segala tertib. Akhirnya, lahir manusia bengis, tak berakhlak, degil dan pelbagai sifat negatif lain bersamanya.
Lakukanlah dengan niat yang ikhlas Lillahhi ta’ala, berdoa agar terjauh syaitan durjana, menjaga kehormatan, dan beristimta’ dengan mengambil cara yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:


Daripada Abi Dzar r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Dan pada kemaluan seseorang kamu (bersetubuh dengan isteri yang sah) adalah sedekah.”
Maka kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah salah seorang kami bersetubuh, adakah ia mendapat pahala padanya?”
Baginda bersabda: “Apakah pendapat kamu sekiranya seseorang itu bersetubuh dengan cara yang haram, adakah ia mendapat dosa? Demikian jugalah sekiranya seseorang itu meletakkannya pada perkara yang halal, adalah dia memperolehi pahala.” (Riwayat Muslim)

Berdoalah, ianya sebagai tanda kita berlindung dengan Allah SWT dari godaan syaitan dan simbolik kepada sebuah kesyukuran padaNya. Semoga dengan membaca doa sebelum mengadakan hubungan antara suami isteri memberikan sebuah keberkatan dan memperolehi anak soleh dan solehah. Rasulullah SAW bersabda: 


Daripada Ibnu Abas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya salah seorang daripada kamu ingin bersetubuh dengan isterinya, maka bacalah (doa ini):
بسم الله اللهم جنبا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا
(Wahai Tuhan kami, jauhilah kami daripada syaitan dan jauhilah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami (anak yang bakal lahir), sekiranya ditakdirkan kepada mereka seorang anak daripada persetubuhan tersebut, syaitan tidak dapat memudharatkannya buat selama-lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Janganlah mendatangi isteri melalui dubur (liwat) dan semasa berlaku haid, ini kerana ianya adalah perlakuan golongan kafir yang bertujuan menyesatkan umat Islam.
Pernah suatu ketika Saidina Umar r.a datang berjumpa Rasulullah SAW lalu beliau bertanya:


“Wahai Rasulullah SAW, aku telah celaka (binasa). Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu celaka? Beliau berkata: Aku telah mengubah kedudukanku semasa bersama isteri (bersetubuh) semalam. Maka tiada jawapan daripada Rasulullah SAW pada ketika itu sesuatu pun, maka turunlah firman Allah SWT yang berbunyi:
Baginda bersabda (berdasarkan firman Allah SWT): Melalui hadapan, melalui belakang (pada kemaluan), jauhilah daripada dubur dan semasa haidh.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)


Mahukan anak soleh dan solehah? Nah, turuti tips-tips ini. Pasti keturunan kalian bukan sahaja gah di mata manusia, bahkan seluruh alam raya jua turut mengkaguminya.
Lalu tergolong di dalam kelompok dicintai Allah dan RasulNya. Pasti!
Rujukan:
Kuliah Pengajian, Al-Fadhil Syeikh Dr. Abdullah Syazili.
Adab-Adab Islam Dalam Kehidupan Seharian Jilid 2, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani.
Mendekati Ulama’ Dan Para Wali Allah Di Mesir, Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab al-Idris al-Linggi.

SUKA BLOG NI ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...