get this widget here

Keperluan Gharizatu An-Nau’ Itu Ialah Naluri Seksual


“Manusia dimana-mana sama saja.. tak kira arabkah, melayukah.. selagi mana tak ikut Islam habislah.” Saya memberi respon kepada Pak Long Di. Dia mengiyakan.
Berkebetulan saya bertandang ke rumahnya ketika itu kerana ditauliahkan sebagai Amil pengutip zakat fitrah. Maka dapatlah mengenali penduduk kampung dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Alhamdulillah.
“Mereka telah berzina.. dah banyak kali..” Cerita seorang kenalan kepada saya. Tersentak mendengarnya. Apa tidaknya, mereka yang dikatakan terlibat itu adalah individu yang saya kenali. Namun saya tidak begitu terburu nafsu untuk menuduh sesiapa. Pembuktian dalam Islam adalah berdasarkan bukti realiti dan saksi yang nyata.
Pertuduhan tidak akan berjalan selagi mana perkara di atas tidak wujud. Itu kaedah pengadilan di dalam hukum syara’.
“Astaghfirullahhal azim..”
“Kamu tahu mana?”
“Dia beritahu saya..” Jawabnya lagi.
AKAL NALURI DAN KEPERLUAN JASMANI

“Dan di dalam dirimu (terdapat tanda-tanda kebesaran Allah), tidakkah kamu memikirkannya?” (Az-Zariyat: 21)

“Sesungguhnya tentang penciptaan langit dan bumi, serta perubahan siang dan malam itu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang mempunyai akal (ulil albab). Iaitu orang-orang yang sentiasa mengingat Allah apabila berdiri, duduk dan terbaring serta berfikir tentang penciptaan langit dan bumi, (seraya mengatakan): “Tuhanku, tidaklah sia-sia Engkau ciptakan ini semua. Maha Suci Engkau, maka selamatkanlah kami dari azab nereka.” (Ali-Imran: 190) 

Apabila diteliti ayat di ayat, sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan kepada manusia bahawa ia mempunyai akal, dan dengan itu juga Allah SWT telah memuliakan manusia. Maka Allah SWT telah mengurniakan kepada kita suatu potensi yang terwujud. Potensi yang terwujud itu akan berlaku sekiranya akal kurniaan Allah SWT digunakan untuk meningkatkan taraf hidupnya sehinggalah kualiti taraf hidupnya meningkat.
Justeru, ia menatijahkan penghasilan tamadun-tamadun yang tinggi kesan dari taraf pemikiran manusia seiring fitrah yang diberikan oleh Allah SWT.
Inilah perbezaan ketara antara manusia dan haiwan. Haiwan ialah suatu materi yang tidak mempunyai akal, dan kalangan haiwan ini taraf hidup dan kualiti tingkah laku (suluk) tetap rendah.
Sesungguhnya manusia telah dikurniakan khasiyat yang terdapat di dalam diri. Di mana, khasiyat yang dimaksudkan di sini ialah keistimewaan yang berupa potensi khas yang diberikan Allah SWT kepada benda. Sehingga benda tersebut dapat memberikan sesuatu atau dapat dipergunakan untuk menghasilkan sesuatu.
Rangkap kata di atas saya simpulkan kepada pecahan-pecahan berikut pula:-


  1. Maksudnya, manusia mempunyai kemampuan untuk berfikir, mengalami pertumbuhan dan tumbesaran menjadi besar, kepayahan, mengantuk dan ini adalah merupakan kesan jasmani.
  2. Begitu juga proses berkembang biak, merasa kasih sayang, perasaan kebapakan dan keibuan yang merupakan kesan daripada naluri seksual (gharizatu an-nau’).
  3. Sifat ingin mempertahankan diri, menyukai sesuatu, ingin berkuasa, ingin memiliki materi, marah, selesa dan berbangga ia adalah merupakan kesan mahu mempertahankan diri masing-masing (gharizatu al-baqa’).
  4. Manakala perasaan merasa lemah dan mempunyai keperluan yang mesti dipenuhi, takut dan perasaan tenang kerana melakukan ketaatan adalah tergolong di dalam naluri beragama (gharizatu an-tadayyun’).
Ini adalah merupakan sebahagian contoh perasaan-perasaan yang mendorong manusia melakukan sesuatu. Terdapat beribu-ribu jenis perasaan yang dialami manusia sepanjang hayatnya, dan kesemuanya itu mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan dalam rangka memenuhi tuntutan perasaan tersebut.
Namun begitu, meskipun dorongan dari dalam diri manusia begitu kuat untuk melakukan perkara di atas, ianya dapat ditentukan bergantung kepada mafhum masing-masing tentang dorongan tersebut. Ini juga di antara perkara yang jelas membezakan manusia dan haiwan. 



Hakikatnya, haiwan menggunakan tamyiz gharizi dalam memenuhi keperluan jasmani dan dorongan nalurinya. Apa yang dimaksudkan pula dengan tamyiz gharizi?
Tamyiz gharizi adalah bermaksud kemampuan untuk membezakan yang terdapat pada haiwan, yang bersifat naluriah, kerana adanya penginderaan ke atas sesuatu secara berulang-berulang. Misalnya apabila haiwan (lembu, kerbau dll) itu makan, mengapa haiwan itu langsung memakan rumput? Dan bagaimana caranya ia mengetahui bahawa benda yang ada dihadapannya adalah rumput? Mengapa haiwan itu tidak tersilap menelan tunggul?
Nah, di sinilah wujudnya tamyiz gharizi pada haiwan. Ianya hasil kurniaan Allah SWT kepadanya, lantas perilaku berulang-ulang ini mencetuskan rasa tahu pada haiwan.
Begitu juga perihal naluri seksual, haiwan sama sekali tidak pernah mendapat pendidikan seks sebagaimana manusia, namun haiwan mampu untuk melakukan hubungan seksual dengan haiwan betina sejenis.







SETIAP MANUSIA ITU SAMA

Tubuh manusia sebenarnya terdiri daripada pelbagai sel, dengan bentuk, warna dan tugas berbeza. Jumlah keseluruhannya melebih daripada 200 bilion sel. Setiap sel terdiri daripada membrane (dinding sel) dan nucleus (inti sel), yang dikelilingi sitoplasma. Sitoplasma ini mengililingi inti sel yang terdiri daripada beberapa kromosom. Jumlahnya 46 kromosom sahaja, tidak kurang dan tidak lebih. Ianya terdapat di dalam sel sperma lelaki dan sel telur perempuan.
Begitu juga dengan struktur tubuh manusia, tidak ada perbezaan antara seorang manusia dengan manusia yang lain waima struktur organ tubuh ataupun fungsinya. Walaupun sedikit berbeza pada warna kulit dan tumbesaran badan, manusia masing-masing mempunyai mata, hati, hempedu, serta anggota tubuh yang lain.
Maka tidak dapat tidak, fungsi-fungsi di atas adalah sama walaupun manusia itu berbangsa apa sekalipun, samaada ianya Melayu, Cina, India, Jepun, Eropah, Arab dan lain-lain. Tidak kira apa juga taraf hidupnya, samaada seorang guru, doktor, pelajar, pekerja semuanya mempunyai naluri seksual (gharizatu an-nau’).
Allah SWT telah menerangkan kenyataan lain berkenaan naluri, dalam beberapa ayat. Misalnya:

“Dan ingatlah apabila Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya, Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menjadikan kamu imam bagi seluruh manusia. Ibrahim berkata: (Dan saya mohon juga) daripada keturunan saya. Allah berfirman: Janji-Ku ini tidak akan mengenai orang-orang yang zalim.” (al-Baqarah: 124)

 Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa, Nabi Ibrahim mempunyai rasa cinta pada zuriatnya. Ini membuktikan juga Nabi Ibrahim mempunyai naluri, dan naluri inilah yang dipanggil naluri seksual (gharizatu an-nau’). Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT agar Dia menjadikan keturunannya sebagai imam sama sepertinya. Tetapi Allah SWT menjawab kembali dengan menyatakan bahawa imamah itu hanya akan diberikan pada mereka yang soleh, bukan zalim.
Demikian juga mengenai kisah Nabi Yusuf AS.Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukannya) dengan wanita itu, seandainya dia tidak melihat tanda-tanda (dari) Tuhannya.” (Yusuf: 24)

 Dorongan syahwat kepada lawan jantina tersebut merupakan kenyataan yang membuktikan wujudnya gharizatu an-nau’ Nabi Yusuf AS kepada permaisuri raja itu. Begitu juga perasaan yang ada pada permaisuri kepada Nabi Yusuf AS lalu ingin memenuhi gharizatu an-nau’. Namun akhirnya Nabi Yusuf AS tidak melakukannya kerana Allah SWT telah menjaga dan mencegahnya.
TIMBUL NALURI KERANA UNSUR LUARAN BUKAN DALAMAN
Naluri manusia sebenarnya timbul kerana adanya unsur-unsur luaran. Justeru, ketiga-tiga naluri itu wujud atas dasar dua faktor.
1. Realiti
2. Pemikiran
Misalnya dalam kes Nabi Yusuf seperti mana yang telah tercatit dalam lembaran al-Quran di atas. Nabi Yusuf dan permaisuri raja tersebut sama-sama tertarik kerana adanya realiti. Bagi Nabi Yusud AS, wanita itu adalah realiti di hadapannya, begitu juga permaisuri itu, Nabi Yusuf AS adalah realiti yang mampu mempengaruhi perasaangharizatu an-nau’nya. Sehinggalah muncul perasaan tertarik antara satu sama lain.
Disamping realiti, faktor pemikiran juga mampu mempengaruhi naluri seseorang itu. Contohnya apabila seorang lelaki membayangkan akan perihal seorang wanita, maka dorongan nafsu syahwatnya akan wujud, walaupun pada hakikatnya realiti wanita itu tidak berada di hadapannya.
Kedua-dua faktor itu, sesungguhnya mampu mempengaruhi naluri seseorang manusia.

BOLEHKAH NALURI ITU DIHILANGKAN?
Naluri tidak dapat dihilangkan dari diri manusia. Namun begitu, naluri mampu dialikan kepada yang lain. Contoh seterusnya ialah sebagaimana perintah Rasulullah SAW kepada para pemuda yang tidak mampu untuk bernikah. Pesan Baginda SAW:

Wahai para pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang mampu berumahtangga, maka menikahlah. Sebab, menikah itu dapat menundukkan pandangan dan membentengi kemaluan. Namun, sesiapa sahaja yang tidak mampu, maka hendaknya berpuasa, sebab puasa itu dapat menjadi benteng (bagi seseorang).” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW memerintahkan mereka yang kuat keinginannya untuk berkahwin agar berpuasa seandainya tidak mampu. Ini kerana dengan berpuasa dapat mengalihkan naluri seksualnya (gharizatu an-nau’) kepada naluri beragama iaitu gharizatu at-tadayyun. Dengan berpuasa, ia mampu meningkatkan kekuatan spiritual seseorang agar geloranya dapat dikendalikan.
SYARIAT MENUNJUKI JALAN
Adanya naluri menyebabkan manusia berusaha untuk memuaskan nalurinya. Namun begitu, hadir Islam mengekang manusia agar tidak terjerlus ke lembah kehinaan. Dengan adanya syariat, manusia mempunyai tatacara kehidupan yang benar dan sahih.
Syariat mengharamkan perzinaan, lalu diganti dengan pernikahan agar dapat mengalihkan naluri ke arah kejahatan kepada kebaikan. Seandainya sudah terlanjur, syariat menetapkan hukuman had 100 sebatan berserta buang daerah dan rejam sebagai penghapus kepada kesalahan. Malah Allah SWT telah mencegah manusia terlebih dahulu dengan firmannya: 

“Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32)

Mengecewakan, kini manusia mengaku Islam tidak lagi mengendahkan akan hal ini. Bahkan kini tahap kesedaran seakan hilang bila adegan mengawan bersepah di merata-rata. Jangankan di dalam rumah-rumah rehat, malahan tepian jalan manusia lalu lalang juga turut menjadi tempat melampiaskan nafsu.
Jangan sampai jadi HAIWAN YANG TAK PUNYA AKAL, KERANA DIRIMU BUKAN HAIWAN yang hidupnya hanya tahu mengawan, makan dan buang air.
Sumber rujukan:
ISLAM: Politik dan Spiritual karya Hafidz Abdurrahman.

SUKA BLOG NI ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...