get this widget here

Menjustifikasikan Apabila Dirogol


“Dibolehkan menjadi pelacur jika dalam keadaan darurat.” Kata lelaki A.
“Tidak dikenakan had jika dipaksa zina/rogol.” Kata lelaki B.
Jika dilihat sekali imbas tanpa penelitian, seakan sama bunyi petikan kata-kata itu. Keterpaksaan untuk melakukan perzinaan.
Berhenti dulu. Sila baca dan renung dahulu situasi antara keduanya. Wujudkah perbezaan antara keduanya? Jawapannya, wujud dan berbeza sama sekali hukumnya.
Menjerumuskan diri ke dalam lembah perzinaan atau dengan bahasa kasarnya, menjadi pelacur lalu menggunakan wang tersebut untuk sara diri dalam kehidupan adalah HARAM sama sekali. Tidak ada alasan untuk menggunakan kaedah darurat akibat ketiadaan kerja mahupun tertekan hidup kerana tidak mempunyai wang.
Jelas. Mari kita teliti pula masalah kedua. Ini bukan masalah sexual harassmentsemata-mata, tetapi masalah dipaksa zina. Justeru, bagaimana pula hukumnya jika dipaksa zina ataupun istilah masyhurnya ‘Dirogol’? Perkara ini juga terkandung di dalam kaedah Qawaid Fiqhiyyah di bawah tajuk ad-Darar Yuzal.
PERBEZAAN MAZHAB DALAM MASALAH INI
Mazhab Hanafi:
Zina paksa bagi lelaki tidak dibolehkan dengan sebab paksaan. Ianya tidak dikira sebagai rukhsah kerana dosanya akan berpanjangan dan berdosa selama-lamanya. Menurutnya perbuatan zina adalah haram secara qat’ei, tidak ada tempat untuk dijadikan keraguan dan tidak boleh beralasan atas apapun.
Jika orang dipaksa itu tetap melakukannya, dosanya tidak akan gugur. Ini dilihat kepada faktor kemudharatan yang besar dengan lebih kecil. Kemudharatan akibat berlaku perzinaan adalah besar bukan dikategorikan sebagai mudharat kecil – Ia berkaitan keturunan dan maruah.
Adapun perempuan dipaksa untuk berzina, berkata setengah pendapat ulama’-ulama’ al-Hanafiah perempuan tadi tidak berdosa. Ini terjadi apabila lelaki yang memaksa perempuan itu berzina dengan paksaan yang sebenar-benarnya.
Al-Kasani menyatakan bahawa perbuatan zina ini tidak kira lelaki ataupun perempuan adalah sama kedudukannya. Bukankah Allah SWT menyamakan di dalam al-Quran mengenai persamaan antara penzina lelaki dan perempuan. Maka selayaknya kita tidak boleh membezakan kedua-duanya. Justeru, kita tidak boleh berikan rukhsah kepada wanita yang dipaksa itu.
Mazhab Hanbali:
Majoriti ulama mazhab Hanbali dan Imam Muhammad bin al-Hasan pengikut mazhab Hanafi pula mengatakan bahawa lelaki yang dipaksa berzina dikenakan hukuman hudud. Ini kerana persetubuhan tidak akan berlaku tanpa adanya lelaki.
Mazhab Maliki:
Tidak boleh meletakkan zina ini sebagai kesan paksaan. Walaupun dengan cara ditakut-takut dengan bunuh. Bahkan wajib merelakan diri untuk dibunuh samaada perempuan tadi dipaksa ataupun merelakan. Jika perempuan itu sudah berkahwin atau bertuan, maka dia wajib merelakan untuk dibunuh.
Akan tetapi jika perempuan itu tidak bersuami dan tidak mempunyai tuan (hamba), maka tidak mengapa.


Mazhab Syafie’:
Tidak halal berzina dengan sebab paksaan samaada terpaksa mahupun yang memaksa. Lelaki perempuan adalah sama.
Ini hukum dari segi akhirat, adapun hukuman zina dari sudut dunia bagi pendapat rajih dari ketiga-tiga mazhab adalah 100 kali rotan.
Adapun perempuan yang dipaksa berzina tidak dikenakan hukuman ke atasnya.
Hudud adalah terbatal dengan syubhat. Ini kerana keterpaksaan adalah suatu benda yang syubhat maka ianya terhalang daripada dikenakan hudud. Jadi, perempuan itu tidak dikenakan hudud.
Manakala menurut sebahagian ulama di dalam mazhab Syafie’ berpendapat: “Apabila seseorang wanita dipaksa antara berzina dan dibunuh, maka haram baginya memilih berzina dan ia mesti memilih dibunuh. Ini disebabkan haram berzina terkategori sebagai menjaga maruah, dan haram membunuh terkategori sebagai menjaga nyawa.
Alasannya kerana implikasi daripada perbuatan zina itu lebih besar seperti mengandung anak luar nikah, trauma yang dialami mangsa, malu yang dirasai oleh kaum keluarga dan tercalarnya harga diri

“Dan sesiapa Yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah – sesudah paksaan Yang dilakukan kepada mereka – Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nur: 33)



Menurut riwayat daripada Mughni Ibnu Qudamah jilid 8 muka surat 187, telah datang seorang perempuan ketika zaman Saidina Umar r.a, lalu berkata:
“Aku tertidur nyenyak, aku tak terjaga sehinggalah aku bangun dan sedari bahawa lelaki telah merogol aku.”
Saidina Umar r.a berkata, “Aku bebaskan perempuan itu dengan sebab hudud tidak terjadi kerana syubhat.” 


Pandangan Jumhur Ulama’:
Menurut pandangan jumhur ulama’ mengatakan bahawa wanita yang dipaksa untuk melakukan zina, tidak dikenakan hukuman hudud. Seandainya paksaan itu adalah paksaan yang ‘muljik’ (Sudah berusaha berlindung), maka dia tidak berdosa.
Tetapi jika paksaan itu bukan ‘muljik’, maka dia berdosa. Dalil yang mereka gunakan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Athram: 

Bahawa seorang wanita telah dipaksa untuk berzina pada zaman Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW membebaskannya daripada hukuman hudud.”


Ini kerana zina paksa atau rogol adalah dikira sebagai syubhat dan hukuman hudud terhalang apabila berlaku syubhat ke atasnya. Begitu juga hukuman lelaki yang dipaksa zina adalah sama dengan hukuman ke atas wanita menurut jumhur ulama’. Pendapat ini adalah dikira sebagai rajih.
Kesemua pendapat di atas adalah benar kerana masing-masing bersandarkan dalil. Namun begitu, timbul persoalan – Yang mana satukah pendapat yang harus digunakan untu menyelesaikan masalah ini.
Jawabnya, bagaimana mahu memilih pendapat walhal perlaksanaan hukumnya tidak dijalankan. Imam dan Qodhi lebih berhak memberikan kata putus.
Mahu bina rumah, tetapi bahan asas pembinaannya belum ada. Apakah rumah itu akan siap sepenuhnya?
Marilah cuba-cuba untuk tepuk dada, mungkin Iman mampu menjawabnya!
Rujukan:
Muhadharat fi Qawaid al-Fiqh al-Kuliyah Firqah Rabi’ah, Doktor Hamid Abduhu Faqi.
Sakit Puan&Perbidanan, Fardhu Kifayah Yang Terabai, Ustaz Haji Zaharuddin Muhammad.

Al-Wafi, Syarah Hadis 40, Imam Nawawi, Dr.Mustafa al-Bugha & Mahyuddin Misto. 




SUKA BLOG NI ?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...